MASIH ramai belum tahu bahawa ramai anak-anak muda di Cherating, Telok Chempedak, Dungun dan di negeri-negeri pantai timur di Malaysia mempunyai bakat dalam sukan luncur ombak.

Baru-baru ini, dua peluncur ombak negara, Didaqt Musaddiq dan Suhaimi Hassan, masing-masing berusia 24 tahun, berjaya mara ke peringkat akhir Pearl of Andaman Surf Contest 2019 di Phuket hujung minggu lalu.

Didaqt dan Suhaimi, masing-masing mendapat tempat keempat dalam kategori yang mereka sertai, iaitu longboard dan shortboard.



Ini merupakan satu perkembangan yang baik memandangkan luncur ombak akan dipertandingkan di Sukan SEA 2019 di Filipina dan kejohanan tersebut disertai peluncur-peluncur terbaik dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Ia juga pendedahan yang baik untuk atlet tempatan bagi menghadapi acara baru dalam Olimpik ini yang akan dipertandingkan buat julung kalinya di Tokyo 2020.



Pengarah Program Safari Xtreme Sports & Events, Mushidy Ibrahim berharap agar pengalaman dan pendedahan yang diberi dapat meningkatkan peluang atlet-atlet ini untuk menyertai Sukan SEA dan seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Kami berharap agar terus mendapat penajaan dan sokongan padu daripada masyarakat setempat serta kerajaan negeri dan persekutuan untuk dapat membawa peluncur-peluncur ombak ini ke peringkat seterusnyaā€¯ kata Mushidy.



Safari Xtreme Sports & Events merupakan penganjur acara sukan ekstrem dan juga menaja lima peluncur ombak dari Pahang untuk menyertai kejohanan di Phuket tersebut.

Tiga lagi peluncur lain yang menyertai kejohanan tersebut adalah Mohd Daud, 29 tahun, Nazrin Nasaruddin, 25 dan Mona Rasidah, 35.