Pemain daripada empat pasukan yang layak menerima bayaran tunggakan gaji sudah menerima wang masing-masing daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), dalam kenyataan pada Sabtu, memaklumkan bahawa pemain tersebut adalah daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), MOF FC, Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Terengganu City FC.

PFAM berkata, pemain yang sudah menerima bayaran ini adalah mereka yang membuat laporan dan telah mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM.

Badan induk berkenaan, yang mewakili pemain di negara ini, memaklumkan pemain pasukan Marcerra United dan Hanelang FC dijangka akan menerima bayaran masing-masing awal tidak lama lagi.

Justeru, PFAM berterima kasih kepada FAM yang banyak bekerjasama dalam menyelesaikan isu berkenaan yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lepas.

Pada masa yang sama, PFAM turut berharap masalah tunggakan gaji yang melanda pemain beberapa pasukan lain seperti Kuantan FA, Pulau Pinang, Perlis dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Bantuan dan kerjasama daripada pihak FAM dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) amat diharapkan bagi menyelesaikan masalah ini, dan PFAM percaya semuanya sedang berada di landasan yang tepat ke arah jalan penyelesaian," jelas PFAM.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, sebelum ini, memaklumkan badan induk itu telah menjelaskan tunggakan gaji lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 menerusi wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang FAM.

Bayaran tunggakan gaji bagi pasukan PDRM dilaporkan telah dikreditkan terus ke akaun pemain berkenaan pada 19 Feb lepas, Felcra FC, MOF FC dan Kelab Sukan DBKL FC (5 Mac), manakala Terengganu City FC pada 7 Mac.

Tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun pemain yang terlibat dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA