NEYMAR menggesa rakan sepasukan muda agar mendengar nasihat pemain senior skuad Paris Saint-Germain (PSG) selepas dia menyuarakan rasa tidak senangnya setelah mengharungi perlawanan yang mengecewakan dalam aksi final Piala Perancis, awal pagi Ahad.

Rennes memenangi Piala Perancis menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas keputusan terikat 2-2 hingga tamat perlawanan setelah juara Ligue 1 itu melepaskan kelebihan dua jaringan di Paris.

Neymar, yang membuat penampilan pertama dalam skuad utama sejak Januari lalu selepas pulih daripada kecederaan kaki, menggandakan kelebihan PSG pada minit ke-21 selepas Dani Alves membuka jaringan.

Bagaimanapun, PSG gagal mengekalkan kelebihan tersebut sama seperti apa yang berlaku dalam aksi berdepan Manchester United dalam pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah, apabila Rennes meninggalkan ibu kota Perancis itu dengan trofi.

Gol sendiri Presnel Kimpembe dan tandukan Mexer mengimbangi kedudukan 2-2 selepas itu untuk skuad bimbingan Julian Stephan berkenaan memenangi penentuan penalti bagi meraih trofi itu buat kali pertama sejak 1971.

Malang terus menimpa PSG dalam masa tambahan apabila Kylian Mbappe dilayangkan kad merah gara-gara terjahan tinggi terhadap Damien Da Silva.

Seterusnya, semua 11 sepakan penalti pertama disempurnakan sebelum sepakan Christopher Nkunk tersasar untuk Rennes memulakan pesta kejayaannya.

Neymar, yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas perlawanan apabila kelihatan menumbuk salah seorang penyokong ketika menerima pingat naib juara, menyelar rakan sepasukannya.

"Kami perlu bertindak seperti lelaki dalam bilik persalinan, kami perlu lebih bersatu," katanya.

"Saya melihat ramai pemain muda, bukan tewas, tetapi enggan mengikut arahan yang diberikan.

"Mereka perlu lebih mendengar daripada bercakap. Kadangkala apabila pemain yang lebih berpengalaman bercakap, mereka menjawab semula. Jurulatih sedang bercakap dan mereka menjawab. Inilah bukti pasukan yang tidak mampu pergi jauh.

"Kami lebih berpengalaman, jadi mereka harus lebih menghormati, dengar apa yang diberitahu. Saya melakukan perkara yang sama ketika memulakan karier sebagai pemain bola sepak."

PSG turut terlepas merangkul Piala Liga selepas disingkirkan Guingamp dalam suku akhir Januari lalu.