Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek mengakui bahawa pemain badminton negara masih ketinggalan dari segi fizikal berbanding pemain dari Korea Selatan dan China.

Beliau berkata berdasarkan kepada situasi semasa, para pemain khususnya perseorangan negara perlu memperbaiki ketahanan diri mereka menjelang aksi Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada 20 hingga 27 Mei depan.

Legenda badminton negara itu bagaimanapun tetap berpuas hati dengan persembahan skuad kebangsaan sepanjang kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 yang melabuhkan tirai kejohanan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, pada Ahad.

"Saya berpuas hati dengan barisan pemain yang diturunkan termasuk Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) tetapi masih ada kelemahan yang boleh diperbaiki khususnya dari segi fizikal.

"Dalam hal ini, Korea Selatan dan China masih jauh di hadapan kita, kalau dilihat keadaan mereka semasa masuk ke dalam gelanggang mereka nampak lebih bersedia dari sezi fizikal," katanya.

Pemain negara boleh beraksi dengan lebih bagus seandainya kekuatan fizikal mereka lebih baik kerana ketika ini kekuatan teknikal mereka adalah lebih kurang sama atau lebih baik daripada pemain negara lain, katanya.

Dalam aksi di Kejohanan Berpasukan Asia yang juga medan kelayakan ke Piala Thomas itu, skuad kebangsaan berjaya mendapatkan tempat secara automatik di Bangkok selepas menamatkan saingan di peringkat separuh akhir apabila tewas kepada China 1-3.

Dalam pada itu, Misbun yakin Malaysia mampu menjadi pencabar utama di Piala Thomas meskipun menyedari laluan ke arah itu bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, dalam tempoh kurang tiga bulan ini, beliau akan cuba mencari pendekatan terbaik untuk mempersiapkan barisan pemain yang paling ampuh untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.

"Memang tugasan menyiapkan pemain ini bukan mudah, ia merupakan kerja yang amat rumit tetapi paling penting saya akan sediakan pasukan yang paling mantap untuk ke Bangkok," katanya. -- Bernama