Seramai 41 pemain dan pegawai kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) semalam bagi memastikan sukan bola sepak tanah air bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JDT hari ini, pemain Safiq Rahim mengetuai upacara melafaz dan menandatangani IBR itu.

Majlis tersebut yang diadakan di sebuah hotel di sini disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Turut hadir Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, Naib Presiden I PBNJ, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Ismail dilapor sebagai berkata kerjasama JDT dengan SPRM adalah untuk memenuhi hasrat dan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya JDT mempunyai integriti yang tinggi serta bebas dari gejala rasuah.

Shamshun Baharin pula berkata usaha yang dilaksanakan oleh SPRM bersama JDT itu secara tidak langsung dapat mengelakkan berlaku isu-isu rasuah dan mengatur perlawanan dalam arena bola sepak negara.

"Menerusi kerjasama ini, semua pihak sudah mempunyai tempat rujukan sekiranya rasuah dan mengatur perlawanan berlaku dalam arena bola sepak tanah air selepas ini," katanya.

Beliau menjunjung kasih dan berterima kasih kepada Tunku Ismail yang mengorak langkah memerangi rasuah dalam arena bola sepak membabitkan JDT dan seterusnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

-- BERNAMA