Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mempamerkan aksi lebih tenang dan pandai bermain helah apabila menjuarai Terbuka Kanada dan Grand Prix Emas Terbuka Amerika, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menyifatkan kombinasi Chong Wei dan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen adalah tepat pada waktunya.

"Saya lihat corak permainan Chong Wei ada perubahan...mungkin atas nasihat Frost. Walaupun umur beliau sudah 32 tahun namun pemain muda susah kalahkan dia.

"Saya harap ranking Chong Wei akan naik balik dan terus kumpul mata untuk ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis BAM dan Mesyuarat Agung Tahunan, di sini pada Sabtu.

Katanya Chong Wei akan menyertai Kejohanan Terbuka Taiwan dari 14 hingga 19 Julai ini.

Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia, kini menduduki ranking ke-65 dunia selepas tidak menyertai beberapa kejohanan antarabangsa akibat digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes doping.

Setelah tamat menjalani hukuman, beliau membantu pasukan Malaysia memperoleh pingat gangsa pada Sukan SEA 2015 di Singapura.