Pengadil bola sepak David McNamara telah menerima notis penggantungan tugas selama tiga minggu oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris (English FA) setelah dia meminta dua kapten pasukan bermain 'scissors, paper, stone' untuk penentuan sepak mula dalam Liga Super Wanita (WSL).

Media Britain melaporkan, pengadil itu berbuat demikian kerana lupa membawa duit syiling.

Insiden itu berlaku sebelum memulakan perlawanan antara Manchester City dengan Reading pada 26 Oktober lalu, melibatkan pemain skipper England Steph Houghton and dan kapten pasukan pelawat Kirsty Pearce.

Lambungan wang syiling untuk menentukan sepak mula adalah syarat yang dikenakan di bawah undang-undang permainan namun McNamara tertinggal wang syilingnya dalam bilik persalinan.

Dia kemudiannya membenarkan dua orang kapten itu bermain ‘scissors, paper, stone’ untuk mendapatkan keputusan, lapor BBC.

"Pihak FA mengesahkan bahawa pengadil David McNamara telah digantung tugas selama 21 hari, bermula Isnin 26 November, selepas mengakui ‘tidak bertindak demi kepentingan perlawanan,” ujar jurucakap FA.

McNamara, yang mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap penggantungan itu, boleh kembali bertugas bermula 17 Disember depan.