CRISTIANO Ronaldo menjelaskan barisan depan Liverpool telah mengingatkan dirinya kepada trio serangan Real Madrid, namun dalam masa sama dia sebenarnya berharap dapat bertemu Manchester United di final.

Liverpool bakal menentang Madrid yang mengejar trofi Liga Juara-Juara Eropah ketiga berturut-turut pada Sabtu di Kiev tatkala Ronaldo kini telah sembuh daripada kecederaan buku lali.

Zinedine Zidane sehingga kini masih belum memberi bayangan kesebelasan utamanya selepas Gareth Bale menjaringkan lima gol dalam beberapa aksi terakhir, membuatkan bintang Wales itu berkemungkinan menyertai Ronaldo dan Karim Benzema di barisan depan.

Ronaldo menyifatkan gandingan BBC (Bale, Benzema, Cristiano) beberapa tahun lalu sebagai sesuatu yang sama dengan apa yang ditampilkan Liverpool melalui Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

"Final sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa. Saya lebih gembira jika ia adalah Manchester United," kata Ronaldo.

"Bagaimanapun, Liverpool tetap saya hormat. Kami tidak menerima cabaran mudah. Mereka berhak berada di final dan kali ini, mereka mengingatkan saya kepada Madrid kira-kira tiga atau empat tahun lalu.

"Barisan serangan mereka sangat pantas dan hebat. Saya menghormati mereka tetapi Madrid lebih bagus. Kami harus bermain dalam prestasi hebat kami sambil sentiasa menghormati lawan."

Madrid dilihat sebagai pilihan dalam final kali ini di Kiev tetapi Ronaldo berpendapat skuad bimbingan Zidane tidak boleh mudah berpuas hati.

"Anda perlu sentiasa bermotivasi. Tidak boleh terlalu santai di dalam kelab ini, terutamanya dalam saingan ini.

"Liga Juara-Juara Eropah telah sinonim dengan Madrid sejak zaman Paco Gento dan Alfredo Di Stefano. Kami dapat merasainya sebagai pemain, begitu juga dengan peminat-peminat.

"Saya mahu tampil dengan aksi terbaik pada Sabtu, membantu pasukan dan berharap dapat menjaringkan gol. Apa yang paling penting, meraih kemenangan dan mencatatkan sejarah."