Seorang warga Britain mendakwa ditahan dan dipukul di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kerana memakai jersi pasukan bola sepak yang mempromosi negara Qatar.

Dalam laporan sebuah media Britain, Guardian, lelaki tersebut, Ali Issa Ahmad, 26 dilaporkan ditahan pada 22 Januari yang lepas akibat memakai jersi kebangsaan Qatar, namun pihak berkuasa UAE menafikan dakwaan itu.

Ali yang berasal dari Wolverhampton merupakan seorang penyokong Arsenal sedang bercuti di UAE untuk menonton saigan Piala Asia yang berlangsung di negara itu bersama rakannya, Amer Lokie.

Ali bagaimanapun dibebaskan selepas ditahan, namun mendakwa dipukul oleh pihak keselamatan di dalam kereta dengan tuduhan mempromosi negara Qatar.

Menurut rakannya, Lokie, selepas dibebaskan, Ali dikatakan ditahan semula kerana didakwa membuat laporan palsu ke atas pihak keselamatan UAE kepada pihak polis.

Selepas memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, sesiapa yang menunjukkan simpati terhadap Qatar di UAE boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Larangan tersebut turut dikuatkuasa di Arab Saudi, Bahrain dan Mesir kerana mendakwa Qatar menyokong pengganas.

Lebih menyakitkan hati apabila Qatar muncul juara Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah di UAE pada 1 Februari, selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam perlawanan akhir.

Penyokong Qatar turut dilarang menghadiri perlawanan sepanjang kempen Piala Asia berlangsung di UAE.

Artikel berkaitan hubungan UAE dengan Qatar:

BACA: Memahami krisis Qatar, Arab Saudi dan sekutunya

BACA: Arab Saudi teruskan projek bina terusan? Qatar bakal jadi sebuah pulau!

BACA: Empat negara Teluk heret Qatar ke ICJ

BACA: Qatar dakwa Arab Saudi ganggu perjalanan jemaah haji