BERIBU-RIBU penyokong dari Chile telah mengatur satu perarakan untuk menuntut Alexis Sanchez meninggalkan Arsenal gara-gara kurang sokongan terhadapnya di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Penyokong Chile menggunakan Facebook untuk mempromosikan protes berkenaan yang akan berlangsung di Santiago pada 1 Mac.

Acara itu yang dinamakan ‘Perarakan Kebangsaan Untuk Alexis Sanchez Tinggalkan Arsenal' telah menarik lebih 4,000 peserta.

Ia diatur selepas Arsenal diaibkan 5-1 oleh Bayern Munich dalam pertemuan pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara kelmarin, dengan bekas bintang Barcelona, Sanchez, dibiarkan bersendirian selepas itu di sebalik ketidaktentuan mengenai kontraknya yang akan berakhir pada penghujung musim dan penyokong di negara asalnya sudah mula berasa bosan.

“Kami sebagai rakyat Chile sudah penat menonton salah seorang bintang terbesar kami bertindak bersendirian untuk mengerah pasukannya,” kata satu huraian protes ini menerusi Facebook.

"Kami tidak mahu dia bermain di Real Madrid atau kembali ke Barcelona, kami tidak kisah di mana dia bermain. Kami hanya mahu dia berjuang seiring dengan 10 pemain lain untuk mendapatkan keputusan.

“Dia tidak berhak dibiarkan bersendirian.”

Sanchez mencatat nama dalam senarai penjaring di Allianz Arena tetapi ia sia-sia kerana Arsenal kesudahannya tersembam.

Pemain antarabangsa Chile itu terlepas satu sepakan penalti tapi merembat masuk dalam langkah susulannya untuk memadamkan kelebihan gol pendahuluan Arjen Robben sebelum Bayern meledak empat gol lagi dalam separuh masa kedua.