Para penyokong Skuad Harimau Selatan mula bertolak ke Stadium Shah Alam pagi ini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah malam ini.

Kira kira 1,500 penyokong mula berkumpul di pekarangan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin seawal enam pagi.

Difahamkan, bagi menampung jumlah yang bertolak dari stadium itu sahaja adalah melibatkan sebanyak 36 buah bas, manakala terdapat ramai lagi di beberapa lokasi berkumpul di daerah-daerah lain.

Rata-rata mereka yang ditemui berkata mereka memilih untuk bertolak awal bagi mengelakkan kesesakan pada saat-saat akhir sebelum sepak mula Piala Malaysia malam ini.

penyokong Skuad Harimau Selatan mula bertolak ke Stadium Shah Alam pagi ini
Hasil tinjauan mendapati kesemua penyokong berasa teruja untuk sama-sama memeriahkan perlawanan akhir.

"Memang teruja, dari malam tadi tidur tak lena, excited.

"Harapan untuk Piala Malaysia, memang kita nak menang. Sebelum ini, pada 2014 kita dah cuba tapi tak lepas. Penantian selama 19 tahun; saya rasa memang patutlah kita bawa Piala Malaysia ke Johor," kata Azman Abu.

Seorang lagi penyokong JDT, Sarimah Ali berkata dia tidak sabar dan gembira berpeluang menyaksikan perlawanan akhir kali ini.

"Terlalu gembira sebab JDT masuk final. Berasa teruja sangat-sangat.

"Harapan mestilah nak JDT menang sebab dah berapa tahun, 19 tahun kita impikan Piala Malaysia ni. Memang teruja sangat-sangat. Kita jangka JDT menang 2-1," kata Sarimah.

Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan dengan setiap pasukan akan menerima agihan 30,000 tiket dewasa dan 750 kanak-kanak.

Manakala baki 10,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak dijual menerusi dalam talian.

Tiket bagi dewasa berharga RM50 dan kanak-kanak RM5 termasuk GST dan perlindungan insurans.