Tutup

Berita  | Sukan

Perak buktikan reputasi 'abang' di Manjung

Perak buktikan reputasi 'abang' di Manjung
Perak menunjukkan siapa bos sebenar dalam perlawanan di antara abang dan adik itu. - Foto Stadium Astro
PERAK menutup tirai pusingan pertama Liga Super dengan bergaya apabila membelasah PKNP FC 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, pada Sabtu.

Dua jaringan Gilmar Jose Da Silva dan masing-masing satu daripada Brendan Gan dan ketua pasukan, Shahrul Saad, menunjukkan penguasaan The Bos Gaurus terhadap lawan dalam pertemuan 'derby' itu.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat anak buah Mehmet Durakovic yang menunjukkan siapa bos sebenar dalam perlawanan di antara abang dan adik itu.

Pelawat mendominasi perlawanan, malah boleh menang dengan jurang lebih besar jika Gilmar berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.
Walaupun barisan skuad Abu Bakar Fadzim itu cuba memberi tentangan, ternyata semangat semata-semata tidak cukup untuk menandingi juara Piala Malaysia 2018 itu.

Dalam pertembungan yang menyaksikan jumlah penonton teramai di Stadium Manjung itu, Perak mendahului 2-0 dalam babak pertama.
Brendan membuka jaringan pada minit ke-13 apabila sepakannya melepasi Mohd Asyraf Omar.

Gilmar kemudian mengukuhkan kedudukan apabila menolak masuk bola selepas pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkannya.

Perak menambah dua gol lagi dalam babak kedua, salah satunya melalui Shahrul Saad.

Selepas itu, Perak mengendurkan permainan dan kesempatan itu diambil Hafiz Ramdan, Giancarlo Lopes dan Yashir Pinto untuk cuba membolosi kubu pelawat tetapi tidak berjaya.

Malah, mereka terus dihukum oleh Gilmar yang menebus kegagalan menyepak masuk penalti apabila menyumbang gol keempat Perak dan jaringan peribadi kedua pada minit ke-89.

Keputusan lain:

PKNS 3 KUALA LUMPUR 2

PJ CITY 1 TERENGGANU 2

Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro



Tag: Liga Super, Perak, PKNP FC, Gilmar Jose Da Silva, Brendan Gan, The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, Abu Bakar Fadzim, Stadium Manjung, Gilmar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.