Selepas kejayaan menjadi tuan rumah Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, September lalu, Perak bersedia untuk menjadi tuan rumah lebih banyak kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Selain kejohanan sukan untuk atlet biasa, Perak juga mahu menjadi tuan rumah kejohanan sukan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sehubungan itu, kerajaan negeri Perak akan menaik taraf venue sukan di negeri itu supaya ia lebih mesra OKU.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya akan menggunakan sebahagian peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk membina kemudahan bagi golongan tersebut.

Antara kemudahan itu ialah ram, bilik penginapan, bilik air dan bilik mandi.

"Ini adalah satu kelebihan yang diharapkan dapat menunjukkan azam dan tekad kerajaan negeri Perak untuk memastikan segala fasiliti dan venue sukan mesra OKU. Akan tetapi kami peka dan kami sedar bahawa negara dan negeri kita pada saat ini memang tidak cukup mesra orang kelainan upaya.

"Jadi saya harap dan kerajaan negeri akan menggunakan segala sumber ada untuk pastikan sukan sebagai sebuah subsektor ekonomi akan membawa manfaat kepada semua lapisan dan golongan masyarakat, termasuk golongan OKU," ujarnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA XIX 2018 Perak di Ipoh, pada Selasa.

Seramai 2,046 atlet dan pegawai dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang akan berlangsung di Ipoh pada 21 - 28 November ini.

Sebanyak 15 kontinjen akan bertanding dalam 10 acara yang menawarkan keseluruhan 1,204 pingat, termasuk 384 pingat emas.