Perak mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala FA 2019 apabila mencatatkan kemenangan agregat 4-3 ke atas Pahang di Stadium Perak, di sini, malam ini.

Skuad kendalian Mehmed Durakovic itu menumbangkan Pahang 3-0, selepas tunduk 1-3 pada aksi separuh akhir pertama, di Stadium Darul Makmur pada 22 Jun lalu.

Beraksi di hadapan lebih 20,000 penonton, The Bos Gaurus terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan, namun percubaan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-24 didakap kemas penjaga gawang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Perak terus melancarkan serangan ke kubu Tok Gajah dan akhirnya pada minit ke-34, Brendan Gan berjaya mencetak nama selaku penjaring apabila menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Muhammad Firdaus.

Pasukan tuan rumah terus menggandakan jaringan pada minit ke-42 apabila J. Parthiban berjaya menewaskan Mohd Helmi Eliza melalui satu sepakan lencong ke sebelah kanan gawang gol Pahang.

Berselang seminit, Pahang terus dirundung malang apabila pemain pertahanan, Mohd Faisal Mohd Rosli tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang oleh Mohd Nor Hakim Hassan sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, Pahang cuba merapatkan kedudukan pada minit ke-77, namun sepakan percuma daripada jarak 25 meter yang dilakukan pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin melambung tinggi .

Tersentak dengan percubaan itu, Perak nyaris menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-85, namun tolakan daripada Parthiban hasil hantaran lintang Mohd Nor Hakim berjaya ditepis keluar oleh Mohd Helmi Eliza di atas garisan gol Pahang.

Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing namun kedudukan Perak 3, Pahang 0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

-- BERNAMA