Juara Piala Malaysia 2018, Perak terus buntu meraih kemenangan selepas seri 3-3 berdepan Kuala Lumpur pada aksi tertangguh Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian ketua jurulatih Mehmet Durakovic mencatat empat keputusan seri dalam lima aksi terdahulu sejak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PJ City FC awal bulan lepas.

Perlawanan itu turut menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa menempuh baki permainan babak kedua dengan 10 pemain selepas dua kad merah dilayangkan pengadil perlawanan kepada Luke Woodland pada minit ke-57 dan Nazirul Naim Che Hashim tujuh minit kemudian.

Pada aksi malam ini, Perak bermula garang dan berjaya mendahului seawal minit ketujuh hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Kuala Lumpur Zaiful Abdul Hakim, namun ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin meledak gol penyamaan skuad 'The City Boys' pada minit ke-21.

Perak kembali mendahului selepas Leondro Dos Santos tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29 selepas Zaiful Hakim menjatuhkan Gilmar Jose da Silva dalam kawasan berbahaya.

Penyerang prolifik, Guilherme de Paula memastikan Kuala Lumpur menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan positif apabila meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-44 selepas beliau dikasari Idris Ahmad.

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur tampil dengan permainan lebih berkeyakinan dalam usaha memburu tiga mata penuh bagi mengelak daripada terus menghuni kedudukan tercorot liga.

Semangat Kuala Lumpur terus membara selepas layangan kad merah terhadap Luke apabila giliran Paulo Josue mencetak nama sebagai penjaring menerusi sepakan percuma yang gagal ditampan penjaga gol pasukan pelawat Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pada minit ke-65.

Bagaimanapun, hasrat Kuala Lumpur meraih tiga mata penuh di laman sendiri musnah selepas Mohamad Faridzuan Kamaruddin gagal menangkap kemas tandukan Gilmar sebelum Mohammad Norhakim Hassan menolak masuk bola ke gawang.

Perak naik satu anak tangga di kedudukan kelapan sementara Kuala Lumpur mengatasi Felda United di tempat ke-11 selepas tamat perlawanan malam ini.

-- BERNAMA