ANDREAS PEREIRA meletakkan sasaran untuk kembali di dalam kesebelasan utama Manchester United selepas dia menyempurnakan musim ini bersama Granada dan berjanji untuk membuktikan kemampuannya kepada kelab.

Pemain tengah berusia 21 tahun itu menyertai Granada secara pinjaman sepanjang musim pada Ogos sebelum dia dapat membuktikan kebolehannya di dalam skuad kendalian Jose Mourinho.

Pereira membuat 13 penampilan buat The Red Devils ketika dikendalikan oleh Louis van Gaal, dan kelab sentiasa berhubung dengan Pereira ketika berada di Sepanyol.

Perancang Brazil itu memberitahu kepada laman sesawang rasmi kelab, "Saya sangat gembira menerima perkhabaran daripada Jose Mourinho dan United meletakkan kepercayaan kepada saya. Pada saya, ia sangat penting kerana mereka sentiasa memantau perkembangan saya.

"Saya berharap untuk kembali bersama United musim hadapan dan membuktikan saya sudah bersedia.

Pereira membuat 26 penampilan LaLiga bersama Granada, meledak empat gol dan mahu membantu pasukan mengelak daripada penyingkiran

"Saya bermain dengan baik, saya cuba untuk menjalankan tugas saya bersama pasukan. Malangnya, pasukan terpaksa mengharungi musim yang sukar dan kami sedang berusaha untuk mengelak daripada penyingkiran."