Perenang negara, Welson Sim memperbaharui semula rekod kebangsaan dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki dalam kejohanan Mare Nostrum di Monaco pada Ahad.

Ia sekali gus menjadi catatan kedua beliau dalam rekod kebangsaan.

Tambah bermakna, perenang berusia 20 tahun itu melakukannya dengan bergaya apabila menewaskan juara Olimpik, Mack Horton dari Australia.

Welson meraih pingat emas dengan catatan masa 3:49.48 saat.

Ia sekali gus memadam rekod kebangsaan beliau sebelum ini iaitu 3:50.333 saat pada Mac tahun lepas.

Horton mencatatkan 3:50.133 saat untuk pingat perak manakala perenang China, Qiu Ziao di kedudukan ketiga.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah atas kejayaan perenang muda negara itu.

Dalam muat naik status di akaun Twitternya, Datuk Seri Najib menyifatkan kemenangan itu sungguh bermakna kepada negara.


Selain memecahkan rekod kebangsaan, Datuk Seri Najib turut berbangga apabila Welson berjaya menewaskan pemenang pingat emas Olimpik, Mack Horton.