Impian Malaysia untuk menjuarai kejohanan dunia sukan elektronik the International Dota2 berakhir apabila wakil negara, Fnatic kalah pada hari pertama kejohanan.

Fnatic yang dikenali sebagai Team Malaysia sebelum ini tewas kepada Team Virtus Pro dari Rusia.

Fnatic diundi dalam kumpulan A yang menyaksikan mereka terpaksa bersaing dengan pasukan pilihan dari China dan Eropah dalam pusingan kalah mati.

Peminat yang menyaksikan kejohanan itu menerusi saluran Astro Supersports ternyata kecewa dengan persembahan Fnatic.
Peminat memberikan pandangan mereka di media sosial, termasuk cadangan Fnatic untuk melakukan persiapan yang lebih baik kerana persembahan mereka tidak sama seperti yang dipamerkan semasa kejohanan Red Bull Battle Grounds sebelum ini.

Bagi peminat tegar pertandingan ini, perubahan strategi dikatakan punca kekalahan Fnatic.
Apapun peminat tetap berbangga dengan mereka selain memberi kata-kata semangat kepada Fnatic.


Malaysia diwakili "Mushi" Chai Yee Fung, "Ohaiyo" Khoo Chong Xin, "kYxY" Lee Kang Yang, "JoHnNy" Lee Siong Tait, and "Kecik Imba" Fadil Mohd Raziff.

Dota2 ataupun dikenali sebagai TI5 diadakan di Seattle Amerika Syarikat merupakan edisi kelima kejohanan tahunan sukan elektronik yang paling berprestij dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM69.6 juta.