Penyokong Liverpool di Asia bergembira dengan kejayaan Liverpool menewaskan Crystal Palace 2-0 dalam kejohanan pra-musim Premier League Asia Trophy yang bermula semalam.

Stadium Hong Kong yang menjadi venue kejohanan bertukar menjadi Anfield di Asia selepas lebih 35,000 penyokong Liverpool membanjiri stadium.

Seperti penyokong-penyokong lain, persembahan menarik Liverpool semalam adalah seperti yang diharapkan dan bersyukur cuaca baik sepanjang hari.

Sebelum ini, rata-rata peminat bimbang dengan hujan tanpa henti di Hong Kong yang mungkin menyebabkan padang rosak dan kejohanan terpaksa dibatalkan.

Terdapat hanya segelintir penyokong West Bromwich Albion, Leicester City dan Crystal Palace yang hadir pada kejohanan yang bermula pukul enam petang semalam.

Bakinya juga dihadiri penyokong yang neutral hanya datang menyaksikan kejohanan itu sebagai peminat bola sepak Eropah.

Salah seorangnya Xan Li, yang merupakan penyokong Everton yang hadir untuk menyaksikan kelibat pemain bertaraf dunia buat pertama kali di Hong Kong.

“Semua tahu Everton adalah jiran dan ada sedikit permusuhan antara dua penyokong kelab itu, dan sudah pasti saya harap Liverpool kalah tetapi sebaliknya, tetapi saya teruja Liverpool mampu mengekalkan corak permainan ‘counter-pressing’ mereka,” kata Xan Li.

Dia turut berpuas hati dengan kualiti perlawanan antara Leicester dan West Brom, dimana Leicester mara ke akhir selepas menang 7-6 menerusi penalti.

“Kesemua pemain menunjukkan komitmen yang terbaik seperti ia bukan perlawanan persahabatan di pra-musim. Mereka mahu menang, bukan senang mahu menang trofi di dalam kejohanan sebenar,” kata Xan Li yang seakan menyindir pasukan-pasukan yang bukan disokongnya.

Penyokong Liverpool ternyata berpuas hati dengan persembahan dua pemain baharu mereka, Mohamed Salah dan juga Dominic Solanke.

Salah dan Solanke dilihat memberi lebih banyak pilihan dalam barisan jentera serangan the Reds dan kedua-dua pemain dilihat yakin mengawal bola dalam padang selain seakan serasi dengan rakan sepasukan baharu mereka.

Dalam perlawanan itu, Liverpool mendapat gol kemenangan menerusi jaringan Solanke pada minit ke-61 dan juga Divock Origi pada minit ke-79.

Ia juga merupakan gol sulung Solanke buat Liverpool selepas menyertai skuad the Reds pada musim perpindahan ini daripada Chelsea.

Liverpool akan bertemu dengan Leicester di perlawanan akhir pada hari Sabtu selepas menewaskan West Brom 7-6 menerusi penalti.

Penalti Marc Albrighton memastikan the Foxes mara ke akhir selepas pemain muda West Brom, Sam Field gagal menyudahkan penaltinya.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti selepas permainan masa sebenar tamat 1-1.

Gol Leicester dijaringkan Riyad Mahrez pada minit ke-24 selepas pemain baharu West Brom Jay Rodriguez meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-10.

Apa pun, lautan merah akan kembali pada Sabtu untuk menyaksikan perlawanan akhir Premier League Asia Trophy antara Liverpool dan juara PL 2016, Leicester City.