Persatuan bola sepak negeri harus memastikan padang yang digunakan untuk perlawanan Liga Super atau Perdana serta kemudahan stadium sentiasa mengikut syarat yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata walaupun FAM menerima pandangan dan cadangan berhubung perancangan menaik taraf stadium, peruntukan untuk melaksanakannya harus diusahakan persatuan negeri.

"Apa pun keutamaan perlu diberi kepada kualiti padang mendahului yang lain bagi membolehkan perlawanan liga diadakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Stadium Likas di sini hari ini.

Tunku Mahkota Johor itu yang diiringi Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Masiung Banah dan Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Datuk Louis Rampas, berkata beliau akan turut meninjau stadium di negeri lain.

Beliau meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau stadium itu yang digunakan untuk pasukan Sabah dalam Liga Malaysia.

Terdahulu, Tunku Ismail mempengerusikan mesyuarat Exco FAM pertama bagi penggal 2017-2021 dan seterusnya menghadiri sesi bertemu peminat bola sepak negeri.

-- BERNAMA