Berita  | Sukan

Persembahan Will Smith tutup tirai Piala Dunia 2018

Persembahan Will Smith tutup tirai Piala Dunia 2018
Nicky Jam, Era Istrefi dan Will Smith mengadakan persembahan pada acara penutup Piala Dunia 2018 di Moscow, Rusia pada Ahad. - REUTERS
MOSCOW : Penyanyi dan pelakon Hollywood, Will Smith menyanyikan lagu tema Piala Dunia "Live It Up" dalam acara penutup kejohanan itu di Moscow pada Ahad.

Ketika Smith mengadakan persembahan di pentas Stadium Luzhniki Moscow, skrin gergasi memaparkan imej pemain dan warna bendera Croatia dan Perancis - dua pasukan yang bersaing merebut Piala Dunia di pentas akhir.

Smith turut disertai Nicky Jam, penyanyi kelahiran Amerika Syarikat berdarah Puerto Rico, serta Era Istrefi, penyanyi pop yang berbangsa Albania dan Kosova. 
Dalam segmen terakhir, penyanyi opera Russia, Aida Garifullina mempersembahkan lagu rakyat Russia berjudul "Kalinka" diiringi pemain bagpipes, koir kanak-kanak dan perkusi.

Turut bersama dalam segmen ini ialah bintang bola sepak Brazil dan pemenang Piala Dunia, Ronaldinho, yang memainkan gendang Afrika.

Persembahan tersebut merupakan pembukaan sebelum perlawanan antara Perancis dan Croatia yang akan berlangsung di hadapan lebih 80,000 penonton.

BACA: Perancis juara Piala Dunia buat kali kedua!