SEJAK 23 tahun terlibat dengan sukan papan selaju ataupun 'skateboarding' di Malaysia, saya sudah melihat turun dan naik dalam kemampuan pemain-pemain papan selaju di negara ini.

Banyak peningkatan dapat disaksikan oleh generasi-generasi baharu dalam sukan itu, namun kemajuan peningkatan itu tidak selari dengan perkembangan di luar negara.

Kita tidak perlu pergi jauh kerana di Bangkok, Thailand saya sudah menyaksikan sendiri pemain-pemain selajunya lebih konsisten berbanding pemain-pemain di Malaysia.

Konsistensi ini amat penting jika kita mahu pemain kita menjadi seorang atlet yang mampu memberi saingan di kejohanan antarabangsa.

Malangnya kita tidak memilki seorang pun pemain papan selaju yang amat konsisten dan mengamalkan rejim latihan seorang atlet yang serius.

Secara jujur, pemain-pemain yang kita ada sudah kesuntukan masa untuk mampu bersaing di Sukan Asia mahupun Olimpik, jika melepasi peringkat kelayakan sekalipun.

Azreen Azman semasa jejalah di Bangkok bersama rakan-rakan papan selaju yang lain dari Lembah Klang. Foto @burnedandstoked Azam Saad.
Kenapa Thailand lebih hebat daripada Malaysia?

Saya tidak mempunyai jawapan ini namun lawatan saya ke dua ‘skatepark’ di Bangkok membuka mata saya bahawa kita sudah ketinggalan jauh sejak nama Ahmad Fadzil Musa 'digeruni' pemain papan selaju di rantau ini dan juga Australia.

Skatepark di Bangkok dibanjiri ramai pemain-pemain muda dan saya amat kagum dengan konsistensi mereka dalam melakukan trik-trik yang asas dan teknikal selain mempunyai semangat yang luar biasa.

Tidak hairanlah Thailand melahirkan ramai pemain papan selaju yang terkenal bukan sahaja di Asia malah dunia seperti Geng Jakkarin dan juga terbaharu, Jasper Dohrs.

Mereka dan ramai ‘skateboarders’ di Bangkok amat konsisten dengan trik yang dibuat mereka setiap hari dan trik pertama yang mereka lakukan sejak tiba di ‘skatepark’ adalah sangat teknikal bagi ’skateboarders’ di Malaysia.

Namun, Geng dan Jasper bukanlah pemain papan selaju yang dilatih untuk menjadi atlet di kejohanan besar, mereka hanya pemain profesional yang memartabatkan ‘core’ ataupun asas sebenar ‘skateboarding’ yang ramai orang tidak fahami.

Ini baharu di Thailand, Indonesia mempunyai 'skateboarder' terkenal, Absar Lebeh yang kini ditaja oleh jenama papan selaju Thailand, Preduce Skateboards, yang sudahpun mendapat pengiktirafan dunia.

Di Singapura ada Firdaus Rahman yang kerap bermain di luar negara dan menduduki ranking yang agak memuaskan di Tampa Pro dan juga berpengalaman luas bermain dalam kejohanan tahap tertinggi seperti Street League Skateboarding (SLS).

SLS merupakan kejohanan yang paling berprestij bagi kategori ‘street’ dan sehingga kini saya tidak nampak seorang pun dari Malaysia yang mampu bersaing dalam kejohanan itu dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang.

Pandangan sama turut dikongsi Ahmad Fadzil atau lebih dikenali sebagai Pa’din Musa di kalangan pemain-pemain papan selaju.

Dalam temubualnya dalam dokumentari bersiri, Papan Selaju: Dari Jalan Raya ke Temasya Dunia, Pa’din menyatakan kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak layak ke Olimpik namun boleh cuba untuk layak ke temasya Olimpik 2024 jika ia dipertandingkan.


Pa’din Musa masih beraksi walaupun sudah melangkaui usia 40-an. - Foto @burnedandstoked Azam Saad.
Bagaimanapun bagi Pa’din, mereka yang mahu layak ke Olimpik seterusnya, perlu menjalani kehidupan sebenar seorang atlet dengan latihan lengkap dari segi fizikal dan sains sukan bermula dari sekarang.

Bagi Mariss Khan, seorang juri yang berpengalaman luas dalam sukan ini sejak awal tahun 2000 lagi, dia berasa Malaysia mempunyai peluang untuk layak dalam kategori ‘park’ berdasarkan pemerhatiannya pada kejohanan Vans Park Series tahun lepas.

Sama seperti Pa’din, Mariss berpendapat mereka perlu lebih banyak pendedahan bermain di luar negara dan latihan kecergasan perlu dimulakan sekarang.

Mariss Khan (kiri) bersama anaknya Mer Nullah Khan. - Foto @burnedandstoked Azam Saad.
Latihan yang dimaksudkan ini bukanlah mempunyai jurulatih yang mengajar atau memantau cara mereka bermain papan selaju, sebaliknya hanya memberi pendedahan kepada atlet kebangsaan untuk bermain dengan yang terhebat di luar negara untuk mengukur sendiri kemampuan mereka.

Dari situ, mereka boleh tahu saingan sebenar yang mereka bakal hadapi dan apa yang mereka perlu lakukan untuk layak bersaing di kejohanan bertaraf dunia seperti SLS dan Olimpik.

Secara jujur, kita tidak mempunyai orang tempatan yang layak untuk melatih atlet kebangsaan malah atlet papan selaju juga tidak memerlukan jurulatih 'skateboarding' untuk kemajuan mereka.

Kita juga tidak mempunyai atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa sementara pemain selaju wanita kita sudah jauh ketinggalan dan sekadar berada di peringkat pemain sosial di waktu petang.

Memang kita mempunyai ramai pemain papan selaju, namun kita sekadar bermain secara sosial dan riadah.

Pemain kita mempunyai kemampuan yang sederhana dalam asas ‘skateboarding’ dan ada kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun di Amerika Syarikat, Brazil dan Eropah lebih hebat daripada sesetengah atlet kebangsaan kita.

Ini tidak bermakna saya tidak menyokong pembangunan sukan ini.

Siapa sahaja yang sedang membangunkan sukan papan selaju perlu realistik dengan kemampuan yang kita ada dan tidak perlu memberikan janji-janji kosong kepada orang ramai.

Teruskan sahaja pembangunan secara berperingkat dari semua aspek bermula dari sekarang.

Jika papan selaju diumum sebagai salah satu sukan di Olimpik pada pertengahan 2016, sepatutnya satu sistem pembangunan sudahpun wujud di negara ini tanpa melengahkan masa dengan mengharapkan bantuan pihak bertanggungjawab.

*Ian Johan Ariff adalah wartawan dan penerbit Astro AWANI. Beliau juga adalah peminat dan pemerhati dan peminat sukan terutamanya sukan papan selaju atau 'skateborading'

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

***Kredit foto: Azam Saad merupakan seorang jurugambar yang amat meminati papan selaju dan terkenal di kalangan pemain-pemain selaju tempatan. Follownya di Instagram @burnedandstoke