Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata akan berlaku perubahan besar dalam Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) tahun ini.

Syed Saddiq berkata sambutan HSN yang merupakan acara tahunan kemungkinan tidak lagi disambut dalam satu hari seperti kebiasaan.

"Banyak perkara yang kami mahu lakukan, Tapi belum masanya untuk diumumkan. Satu perubahan besar akan kami lakukan pada Hari Sukan Negara tahun ini.

"Ia bukan Hari Sukan Negara yang disambut dalam satu hari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata dalam mentransformasikan Malaysia sebagai negara bersukan, rakyat memerlukan lebih tempat terbuka bagi menggalakkan orang ramai bersukan dan beriadah.

Katanya infrastruktur sukan yang akan dibina selepas ini perlu difokuskan kepada kawasan yang memerlukan dan bukan ditumpukan kepada lokasi yang didiami oleh individu berpengaruh.

"Infrastruktur sukan yang dibina tidak perlu mewah tetapi memberikan impak yang besar kepada masyarakat sekeliling.

Persepsi bahawa sukan itu terlalu mahal atau memerlukan infrastruktur yang mewah adalah tidak betul. Selagi tempat terbuka yang saya maksudkan itu dapat dimanfaatkan, saya percaya rakyat memahami dan membudayakan sukan dalam kehidupan harian," katanya.

Dalam pada itu Syed Saddiq mengakui pelbagai cabaran perlu dihadapi dalam memupuk semangat bersukan dalam kalangan generasi baharu terutamanya kerana golongan itu lebih tertumpu kepada penggunaan gajet.

Katanya pembinaan infrastruktur sukan perlu strategik dan mudah diakses serta menarik minat generasi baharu untuk berkumpul dan beriadah.

"Sebab itu pentingnya komuniti setempat mengguna pakai infra tersebut dan menggerakkan aktiviti di kawasan mereka," katanya.

Agensi dibawah KBS, Institut Penyelidikan Pembangunan Budaya Sukan Malaysia (IYRES) melancarkan Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 yang bertujuan mengukur tahap dan trend budaya sukan rakyat Malaysia.

Berdasarkan data penyelidikan dijalankan, Indeks Budaya Sukan Malaysia tahun lepas berada pada tahap sederhana dengan nilai skor 53.1

Pencapaian indeks tersebut menunjukkan pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia perlu ditingkatkan.

-- BERNAMA