Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) menggesa Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) meneliti semula jadual perlawanan Liga Super dan Liga Perdana pada musim depan.

Presiden PFAM Hairuddin Omar berkata pihaknya mendapati kebanyakan jadual perlawanan liga tidak memperuntukan tempoh rehat yang mencukupi iaitu minimum tiga hari antara setiap dua perlawanan.

Beliau berkata antara aspek yang perlu ditekankan dalam penjadualan perlawanan ialah tempoh masa yang diberikan untuk pemain berehat selepas sesuatu perlawanan, dan waktu perjalanan pasukan untuk perlawanan yang seterusnya.

"Rehat yang tidak mencukupi untuk pemain menjalani proses pemulihan akhirnya akan membawa risiko kecederaan kepada kami, selain kesan keletihan, kelesuan dan seterusnya menjejaskan persembahan di atas padang.

"Saya amat berharap FMLLP dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengambil serius hal ini demi menjaga kebajikan pemain dan memastikan kualiti liga berada pada tahap yang optimum.

"Agak malang sekiranya kualiti liga menurun hanya disebabkan penjadualan liga yang tidak mengambil kira keadaan pemain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hairuddin yang kini menyarung jersi Terengganu berkata kajian yang diterbitkan American Journal of Sport Medicine oleh Dupont G. (2010) mencadangkan rehat minimum antara dua perlawanan mestilah sekurang-kurangnya 72 jam bagi mengurangkan risiko kecederaan.

"Ia juga disokong kajian American Academy of Pediatrics (AAP) apabila mendapati atlet yang mendapat rehat secukupnya antara 72 jam hingga 92 jam mempunyai 68 peratus peluang mengelakkan kecederaan," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu mengambil contoh perlawanan antara Perak dan Terengganu (23 Julai) di Ipoh, Perak dilangsungkan hanya dua hari masa rehat selepas pertemuan Felda United dengan Terengganu (20 Julai) di Jengka, Pahang.

Keadaan sama juga berlaku kepada pasukan PKNS FC apabila menentang Sabah (22 Julai) di Kota Kinabalu, tiga hari selepas perlawanan dengan Perak (19 Julai) di Ipoh, termasuk waktu perjalanan pasukan dan tempoh rehat, katanya.

Dalam pada itu, Hairuddin berkata PFAM bersedia duduk semeja bagi membincangkan proses penjadualan liga supaya kebajikan pemain dan kepentingan setiap pasukan dijaga sepenuhnya.