Johor Darul Ta'zim (JDT) sekadar meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas kelab Filipina, Ceres–Negros FC, dalam separuh akhir pertama Piala AFC zon Asia Tenggara di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Misi skuad Harimau Selatan untuk mencari bekalan gol di Larkin bermula seperti dirancang apabila tonggak import, Gabriel Guerra, melakukan jaringan memukau pada minit ke-17.

Bagaimanapun, ia hanya menekan butang panik lawan, menyaksikan Ceres membalas dengan dua gol empat minit kemudian, bermula dengan tandukan padu Fernando Rodriguez pada minit ke-21 sebelum Bienvenido Maranon Morejon pula menggegar gawang tuan rumah.

Setelah ketinggalan 1-2, anak buah Benjamin Mora tidak mudah melatah, hasilnya jaringan penyamaan berjaya diledak sebelum tamat separuh masa pertama, berpunca daripada hantaran bijak Muhammad Fazly Mazlan yang disempurnakan Safiq Rahim.

Perlawanan pada separuh masa kedua terus sengit tetapi tuan rumah terlebih dahulu meraih gol tambahan pada minit ke-68 menerusi jaringan cantik Ahmad Hazwan Bakri.

Menuju ke penghujung perlawanan, bukan JDT sahaja menjana serangan, Ceres ikut sama mencari peluang untuk menyamakan kedudukan.

Tetapi keputusan 3-2 kekal memihak kepada JDT sehingga tamat, menyaksikan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan dalam aksi timbal balik di Filipina nanti.

Selepas ini, Ceres yang memiliki dua gol di tempat lawan, akan melayan kunjungan JDT di Bacolod City pada 31 Mei, dengan sepak mula pada jam 7.30 malam.