TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengakui keputusan Pahang menolak beraksi dalam Piala AFC musim depan merugikan semua pihak apabila negara bakal kehilangan satu slot kejohanan itu yang turut memberi impak terhadap ranking dunia Malaysia kelak.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) semalam mengesahkan menolak tawaran untuk beraksi dalam Piala AFC musim depan selepas Kedah gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Keputusan itu dibuat PBNP kerana mahu memastikan Pahang memberi tumpuan penuh terhadap saingan Liga Malaysia 2018.

BACA: Pahang tolak slot ke Piala AFC

BACA: Bukan dianaktirikan, Kedah memang sah tidak layak ke Piala AFC - FAM

Namun, gara-gara Pahang menolak tawaran itu ketika mereka memenuhi segala kriteria AFC untuk beraksi dalam kejohanan itu, slot berkenaan akan diberikan kepada negara lain berdasarkan Peraturan Pertandingan AFC 12.12.

"Ia merupakan satu kerugian buat Malaysia. Apabila terdapat peluang untuk beraksi dalam saingan tersebut, ia merupakan peluang untuk meningkatkan mutu pengalaman pemain-pemain," kata Yusoff.

Demi menjaga kredibiliti pertandingan, AFC tidak sewenangnya-wenangnya akan memberikan slot itu kepada pasukan lain sekiranya ada pasukan yang layak untuk beraksi.

Ini bermakna slot itu juga tidak akan diberikan kepada Selangor selepas mereka dikatakan pasukan paling layak beraksi berbanding Felda United dan Perak.

"Beraksi dalam saingan ini, mereka memerlukan persiapan yang lebih rapi," kata pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir.