Berita  | Sukan

Piala AFF B-19: Bertemu Indonesia, aksi tangkas Azri bawa Malaysia ke final

Piala AFF B-19: Bertemu Indonesia, aksi tangkas Azri bawa Malaysia ke final
Malaysia akan berdepan dengan Myanmar yang mengetepikan Thailand 1-0 untuk penentuan juara pada Sabtu ini. - Foto Astro Arena
MALAYSIA melepasi ranjau berduri untuk menempah tiket perlawanan akhir Kejohanan Piala AFF B-19 selepas Muhammad Azri Abdul Ghani muncul wira negara untuk mengatasi tuan rumah, Indonesia, dalam penentuan penalti di Surabaya, sebentar tadi. 

Saingan sengit ditampilkan kedua-dua pasukan sejak awal permainan sebelum perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti yang menyaksikan anak buah Bojan Hodak menang 3-2 selepas permainan berakhir 1-1. 

Berdepan pasukan tuan rumah bukanlah tugas mudah, tambahan pula seramai 26,000 penyokong membanjiri Stadium Gelora Delta Sidoarjo untuk memberi sokongan kepada skuad muda Indonesia itu. 

Seawal minit ketiga, Egy Maulana -- yang direkrut kelab Poland, Lechia Gdansk -- merobek gawang negara dengan menyempurnakan sepakan penalti. 
Enggan ketinggalan, ketua pasukan negara, Muhammad Syaiful Alias, membuatkan penyokong Indonesia tergamam melalui tandukan padu untuk menyamakan kedudukan berselang 12 minit.

Sejak itu, permainan berlangsung seimbang sehingga  10 minit menuju wisel penamat apabila Malaysia diasak hebat. 

Namun, benteng negara tenang mematahkan setiap asakan lawan sambil bintang lawan, Egy Maulana, terpaksa meninggalkan padang akibat keperitan kecederaan. 

Pada masa kecederaan, Malaysia dihadiahkan sepakan percuma dari tengah kedudukan pintu gol lawan, sayangnya sepakan Muhammad Zafuan Azeman pula melambung tinggi. 

Tiada tambahan masa dan perlawanan terus dilanjutkan ke babak penalti. 

Dengan tekanan yang memuncak selain lampu limpah yang terpadam hampir lima minit sebelum penentuan sepakan penalti, penjaga gol negara, Azri, memainkan watak penting untuk menafikan tiga sepakan berturut-turut Indonesia biarpun barisan negara sempat berdepan detik mencemaskan susulan kegagalan Zafuan dalam sepakan keempat. 

Malaysia akan berdepan dengan Myanmar yang mengetepikan Thailand 1-0 untuk penentuan juara pada Sabtu ini. 

Untuk rekod Malaysia menundukkan Myanmar 1-0 dalam aksi Kumpulan B menerusi jaringan tunggal A. Shivan Pillay.

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini