PEMAIN paling bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018, Safawi Rasid, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan bersedia mengerah segala kudrat dalam memastikan kemenangan dalam aksi pertama Piala AFF berdepan Kemboja, malam ini.

Bagi Safawi, persefahaman dan motivasi pemain dalam pasukan kini di tahap terbaik, setiap pemain menyedari tugasan mereka hari ini dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik Phonm Penh.

"Kami menyasarkan kemenangan dalam perlawanan ini, ia bakal menentukan hala tuju cabaran Malaysia dalam Piala AFF kali ini," kata Safawi.

Dengan statusnya selaku pemain paling bernilai ABK 2018, ramai yang mungkin tidak menyedari ini adalah saingan Piala AFF pertama buat Safawi.

Dua tahun lalu, Safawi digugurkan daripada skuad negara ke Piala AFF namun selepas dua tahun pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) ini cepat mencapai kematangan dan peningkatan dalam permainannya.

Dia juga merupakan tonggak skuad B-23 negara dalam Sukan Asia 2018, Kejohanan AFC B-23 tahun dan Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada individu yang tidak putus membantu saya dalam meningkatkan mutu permainan sehingga ke hari ini."