Berita  | Sukan

Piala Airmarine: Singapura sekat hajat Malaysia ke final

Piala Airmarine: Singapura sekat hajat Malaysia ke final
Zaquan Adha terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol untuk Harimau Malaya - Foto Stadium Astro.
HARIMAU Malaya seharusnya menyalahkan diri sendiri atas kegagalan melangkah ke perlawanan akhir apabila tewas dengan jaringan tunggal Faris Ramli yang membawa Singapura ke peringkat penentuan Piala Airmarine 2019, sebentar tadi.

Jaringan tunggal itu hadir pada minit ke-82 selepas bekas pemain PKNS FC dan Perlis, Faris, memecah perangkap ofsaid yang dibina pertahanan negara yang diketuai Shahrul Saad selepas mendapat umpanan lolos daripada Khairul Amri Kamal.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak berhati-hati pada awal permainan yang menambah kesuraman perlawanan yang menyaksikan Stadium Nasional, Bukit Jalil, sepi daripada sorakan dengan jumlah penonton yang terlalu kecil gara-gara harga tiket yang mahal.

Begitupun, Singapura terlebih dahulu mendapat rentak dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya dalam kejohanan empat negara itu yang diwujudkan bagi tujuan menaikkan ranking skuad negara.

Yasir Hanapi menjadi watak utama untuk mengucar-kacirkan kubu negara dengan dua percubaan awalnya dipatahkan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Malaysia pula hanya mencipta satu peluang menarik dalam babak pertama menerusi Irfan Zakaria tetapi tandukan pertahanan itu daripada satu sepakan sudut, meliar.

Tindakan pengendali negara, Tan Cheng Hoe -- yang ditetapkan misi ke final -- dengan mengeluarkan Norshahrul Idlan Talaha dan memasukkan Abdul Halim Saari memberikan suntikan lebih bertenaga di bahagian tengah.

Ia meningkatkan peluang Malaysia untuk memenangi perlawanan tersebut di sebalik boikot yang dilancarkan 'ekor Harimau Malaya' gara-gara isu harga tiket dengan menjelmakan aksi lebih meyakinkan dalam separuh masa kedua.

Namun, aksi lebih kemas itu sebaliknya gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Ketumpulan di jentera serangan jelas menghantui Harimau Malaya dengan ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, terlepas setidak-tidaknya lima peluang menarik untuk merobek gawang lawan.

Untuk itu, Malaysia akan beraksi dalam penentuan ketiga bertemu Afghanistan, petang Sabtu ini sementara Singapura akan berentap dengan Oman untuk menentukan juara.

"Saya beritahu kepada pemain agar jangan kelam-kabut.

"Apabila menguasai bola, kami akan cuba kekalkan sambil menunggu waktu yang tepat.

"Saya sudah berpesan kepada mereka bahawa dalam perlawanan antarabangsa, kami perlu memanfaatkan peluang terhidang walaupun hanya sekali.

"Kami sudah melepaskan beberapa peluang menarik dalam separuh masa pertama, seterusnya saya menuntut supaya menyudahkan satu peluang yang ada dalam separuh masa kedua," ujar jurulatih Singapura, Nazri Nassir.

Tambah Cheng Hoe: "Kami membuat permulaan permainan yang perlahan manakala Singapura lebih menunjukkan keazaman tinggi.

"Sudah tentu kami cuba bangkit dalam separuh masa kedua dengan beraksi baik.

"Namun, satu lagi kesilapan membuatkan kami dibolosi."

Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro