"Beri jaminan keselamatan buat skuad kebangsaan." Itu harapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, kepada Kerajaan Korea Utara apabila skuad kebangsaan bertandang ke Pyongyang untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia, 8 Jun depan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam, mengumumkan aksi kelayakan Kumpulan B di antara Korea Utara dan Malaysia akan tetap dilangsungkan di Pyongyang.

Keputusan itu dibuat selepas tiada lagi sekatan daripada pihak kerajaan negara itu buat Malaysia ke sana.

Namun, Khairy tetap menekankan aspek keselamatan buat skuad Harimau Malaya ke Pyongyang.

"Bukan hanya ketegangan wujud di antara Malaysia dan Korea Utara.

"Malah, ketika ini Korea Utara juga sedang menghadapi pebagai isu luar melibatkan dunia luar.

"Saya mengharapkan pasukan kita akan selamat dan dapat melangsungkan perlawanan itu serta selamat kembali ke tanah air," ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih enggan mengalah dan mahu terus merayu kepada AFC bagi meneruskan hasrat aksi itu dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

"Kami akan membuat rayuan. Keputusannya nanti, itu terpulang.

"Kami akan membuat rayuan dan perkembangan selanjutnya kami akan beritahu nanti," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, ketika dihubungi.

Sebelum ini, aksi Korea Utara dengan Malaysia sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu di Pyongyang.

Begitupun, aksi itu ditangguhkan susulan Kerajaan Malaysia ketika itu melarang skuad negara ke Korea Utara ekoran ketegangan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Ia susulan kes kematian seorang warga Korea Utara yang didakwa abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Februari lalu.