Perancis tidak menghadapi masalah apabila mudah menjinakkan Honduras 3-0 dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia FIFA 2014 di Estadio Beira-Rio di Porto Alegre awal pagi tadi.

Karim Benzema muncul wira buat skuad ‘Les Bleus’ apabila meledakkan dua gol sebelum satu lagi gol dihasilkan hasil kesilapan penjaga gawang Honduras, Noel Valladares yang tertampan bola umpanan Benzema ke gawang sendiri.

Malah, keputusan membenarkan jaringan itu juga diteliti menerusi penggunaan teknologi garisan gol yang mula digunakan dalam kejohanan ini.

Sementara itu malang buat pemain tengah Honduras, Wilson Palacios yang diperintahkan keluar padang setelah mengutip dua kad kuning dan Benzema mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk Perancis beroleh gol pertama.

Kekurangan seorang pemain buat Honduras memberi kelebihan kepada Perancis yang melakukan asakan bertubi-tubi ke kubu Honduras sebelum menambah gol pada minit ke 48 dan 72.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E sebelum itu, Switzerland dipaksa bekerja keras hingga ke masa kecederaan sebelum menang ke atas Ecuador dengan jaringan 2-1.

Jaringan minit ke 90 oleh pemain gantian, Haris Seferovic sudah cukup untuk membantu skuad kendalian Ottmar Hitzfeld itu pulang dengan tiga mata berharga.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan yang sangat hambar dimana deretan peluang terhasil daripada kedua-dua pasukan namun gagal dimanfaatkan sebagai jaringan.

Ecuador bagaimanapun membuka jaringan terlebih dahulu apabila tandukan penyerang, Enner Valencia daripada satu sepakan sudut berjaya meletakkan pasukan tersebut di hadapan.

Asakan demi asakan bertali arus Switzerland kemudiannya berjaya menghasilkan jaringan hasil tandukan pemain gantian, Admir Mehmedi yang masuk menggantikan Valentin Stocker tiga minit sebelum wisel tamat separuh masa dibunyikan.

Perancis dan Switzerland kini mengutip tiga mata hasil kemenangan masing-masing dan akan bertemu pada 21 Jun nanti sementara Ecuador dan Honduras pula masih mencari kemenangan pertama dan akan bertemu pada hari yang sama.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Karim Benzema (Perancis) dan Valon Behrami (Switzerland)