Rusia akan memberi dadah kepada semua pemain pasukan bola sepak kebangsaannya, dan beberapa langkah diambil bagi memastikan mereka tidak ditangkap ketika ujian doping, demikian dakwa seorang pembocor maklumat yang mendedahkan skala korupsi dalam sukan Rusia.

Menurut laporan portal berita antarabangsa, seseorang yang rapat dengan bekas ketua makmal anti-doping Moscow, Grigory Rodchenkov mendedahkan Rusia merancang untuk menukar sampel air kencing pada temasya Piala Dunia 2018 supaya pemain mereka boleh mengambil bahan terlarang sewenang-wenangnya, kaedah sama yang digunakan pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi.

Rodchenkov yang kini diletakkan dalam program perlindungan saksi di Amerika Syarikat, turut mengemukakan bukti penggunaan dadah membabitkan ahli sukan lelaki dan wanita Rusia.

Namun, Pengarah Icarus, filem dokumentari yang merancang penerbangan Rodchenkov ke AS dan mendedahkan konspirasi doping Rusia, Bryan Fogel, telah memberi isyarat bahawa testimoni pengarah makmal itu terhadap bola sepak akan memberi kesan buruk sama seperti kepada sukan musim sejuk mahupun olahraga.

Ia bermakna Rusia yang juga tuan rumah Piala Dunia 2018 boleh disiasat dan kemungkinan tindakan disiplin akan diambil.

Pada masa sama Rusia mungkin kehilangan beberapa pemain, termasuk pasukan itu diharamkan daripada bertanding daripada Piala Dunia anjuran mereka sendiri sekiranya dakwaan itu benar.

Rusia berdepan pengharaman bertanding dalam Piala Dunia anjuran mereka sendiri sekiranya semua dakwaan didapati benar.

Fogel, yang menghabiskan masa dua tahun menyiasat kes doping dan mengenali Rodchenkov sebelum dia berlindung di AS, telah mendedahkan lebih banyak perincian tentang program doping bola sepak Rusia dan bagaimana ia didakwa dirancang oleh Timbalan Perdana Menteri Rusia, Vitaly Mutko, yang bertanggungjawab menggendalikan Rusia 2018 sehingga bulan lepas.

“Apa yang saya tahu daripada Grigory, arahan daripada Mutko adalah ‘bola sepak mesti bersih'.

“Ia membawa maksud tidak akan ada laporan positif dadah, walaupun semua pemain di bawah program doping tajaan negara,” katanya.

Rodchenkov mendakwa ejen keselamatan kerajaan Rusia telah membantunya menipu dalam Olimpik Musim Sejuk 2014 Sochi dengan meluluskan sampel Rusia yang tercemar menerusi satu lubang pada dinding dalam makmal anti-doping, dengan menggantikannya dengan air kencing yang bersih.

Tekanan kini berada pada bahu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyoal siasat Rodchenkov.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia itu masih belum menghubunginya, selain memberi isyarat kepada perantara Agensi Anti Doping Dunia (WADA) yang mereka mahu berbuat demikian.

FIFA mendakwa mereka mahu menganalisa semua data yang telah diberikan untuk membenarkan soal siasat yang lebih terperinci dibuat ke atas Rodchenkov ‘dalam tempoh terdekat.’