England mara ke suku akhir selepas menewaskan Colombia 4-3 menerusi penalti.

Penjaga gol Jordan Pickford dan Eric Dier menjadi wira England dalam perlawanan sangat dramatik itu.

Berlangsung di Stadium Spartak Moscow, England menguasai permainan dan hampir berada di depan pada minit ke-16, namun tandukan kapten pasukan Harry Kane tersasar.

England mendapat penalti pada minit ke-54 selepas Carlos Sanchez menolak Kane jatuh dalam kawasan penalti.

Berlaku perbalahan antara pemain dan pengadil sebelum penalti itu diambil, namun Kane mudah menewaskan David Ospina untuk England mendahului 1-0.

England terus menyerang dalam usaha menggandakan jaringan menyaksikan Dele Alli gagal memanfaatkan peluang apabila tandukan melewati palang.

Kesilapan pertahanan England, Kyle Walker nyaris membawa padah kepada skuad the Three Lions, namun cubaan Juan Cuardado jauh tersasar.

Dua minit dalam masa kecederaan, Mateus Uribe membuat satu percubaan bahaya yang memaksa Pickford menampan bola keluar untuk memberi sepakan sudut kepada Colombia.

Skuad La Tricolor itu memanfaatkan sepakan sudut tersebut dengan gol dari tandukan Yerry Mina untuk mengikat kedudukan 1-1.

Perlawanan berakhir 1-1 selepas tamat masa sebenar memaksa perlawanan bersambung ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan kelihatan kepenatan dalam masa tambahan menyaksikan pelbagai kesilapan dibuat.

Jamie Vardy yang masuk sebagai pemain gantian untuk England mempunyai peluang untuk meletakkan England di depan pada minit ke-106, namun cubaannya tepat kepada Ospina.

Tiada gol berjaya dijaringkan dalam masa tambahan memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Colombia mempunyai kelebihan untuk menang sepakan ini apabila tendangan Jordan Henderson diselamatkan Ospina untuk Colombia mendahului 3-2.

Bagaimanapun, England boleh menarik nafas lega apabila tendangan Uribe terkena palang untuk kekal 3-2, sebelum tendangan kelima Colombia yang diambil Carlos Bacca diselamatkan Pickford.

Dier menyudahkan sepakan terakhir England untuk mengesahkan kemenangan milik Three Lions dan akan bertemu Sweden di suku akhir pada 7 Julai, jam 10 malam.