Perancis mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA selepas menewaskan Uruguay 2-0.

Kesilapan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera dalam babak kedua menyukarkan misi Uruguay yang terpaksa beraksi tanpa penyerang utama, Edinson Cavani untuk mencari gol penyamaan.

Berbeza dengan Muslera, penjaga gol Perancis, Hugo Lloris beraksi dengan cemerlang apabila menyelamatkan tandukan deras Martin Caceres yang menerima hantaran sepakan percuma, Lucas Torreira.

Sebelum itu, Raphael Varane menanduk masuk gol pertama perlawanan, apabila menanduk masuk hantaran sepakan percuma, Antoine Griezmann pada minit ke-40.

Uruguay terus berusaha mencari gol penyamaan dalam babak kedua dengan cubaan Rodrigo Bentancur yang tersasar ke kiri gawang.

Kegagalan Uruguay mencari penyudah ternyata membawa padah apabila cubaan jarak jauh Griezmann gagal di tampan dengan kemas Muslera, sejam selepas perlawanan berlangsung.

Uruguay bagaimanapun tidak mengalah dengan cubaan Cristian Rodriguez dari luar kotak penalti, tiga minit kemudian, sedikit tersasar selepas menerima hantaran Jose Gimenez.

Sembilan minit kemudian, Perancis terlepas peluang untuk mendapat gol ketiga apabila tendangan Corentin Tolisso terlampau tinggi.

Seminit sebelum masa tamat, Griezmann cuba mendapatkan gol ketiga Perancis menerusi sepakan percuma namun tendangannya jauh tersasar.

Perancis menang 2-0 untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2006 dan bagi Uruguay ketiadaan Cavani jelas memberi impak kepada pasukan bimbingan Oscar Tabarez, terutama sekali ancaman di bahagian serangan.

Bagi Perancis, skuad Les Blues meneruskan rekod kemenangan ke atas lawan dari Amerika Selatan, apabila masih belum tewas dalam sepuluh perlawanan Piala Dunia kepada pasukan dari benua itu, sejak tumpas kepada Argentina pada 1978.

Ia menyamai rekod dicatat Itali, yang tidak layak untuk beraksi pada Piala Dunia tahun ini.