BELANDA melangkah ke final Piala Dunia Wanita FIFA buat kali pertama dalam sejarah kejohanan itu selepas menewaskan Sweden 1-0 di Lyon, awal pagi tadi.

Gol kemenangan perlawanan dijaringkan pemain tengah Manchester United, Jackie Groenen dalam masa tambahan.

Penjaga gol Belanda, Sari van Veenendaal menjadi penyelamat juara Eropah itu apabila berjaya menyelamatkan tiga percubaan bahaya Sweden dalam babak pertama dan kedua permainan.



Peluang terbaik Belanda untuk mendahului dalam babak kedua pula dinafikan penjaga gol Sweden, Hedvig Lindahl yang menepis tandukan Vivianne Miedema sebelum ia mengenai palang.

Lindahl turut menyelamatkan percubaan Shanice van de Sanden di penghujung babak pertama untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Groenen memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-99 menerusi satu rembatan leret dari luar kotak penalti.

Belanda akan bertemu juara bertahan, Amerika Syarikat di final pada Ahad, di Lyon.