PASUKAN bola sepak lelaki Amerika Syarikat (AS) gagal menyamai pencapaian skuad wanita negara itu apabila tumpas kepada Mexico 1-0 pada final Piala Emas CONCACAF di halaman sendiri.

Beberapa jam selepas skuad wanita AS menang Piala Dunia di Perancis, pasukan bola sepak lelaki gagal menyaingi Mexico apabila Jonathan Dos Santos menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73.

Ia merupakan kejuaraan kelapan Piala Emas buat Mexico, mengatasi AS yang memenanginya sebanyak enam kali.

Bintang pasukan itu, Christian Pulisic dan kapten pasukan, Weston McKennie meninggalkan stadium tanpa memberi sebarang komen kepada wartawan.



Kekalahan ini satu tamparan kepada usaha AS untuk bangkit semula selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Walaupun skuad El Tri beraksi tanpa tiga penyerang utama, mereka menguasai 58% permainan, membuat 20 percubaan berbanding 10 dibuat AS.