PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini menunggu jawapan daripada tiga negara untuk membentuk penganjuran Piala Empat Negara yang akan berlangsung bulan depan.

Tiga negara dimaksudkan adalah Singapura, Kuwait dan Afghanistan yang akan memberikan jawapan mereka selewat-lewatnya pada Selasa.

Penganjuran kejohanan itu tetap akan diteruskan andai tiada jawapan positif daripada tiga negara terlibat dan hanya satu negara yang akan dipilih sekiranya ketiga-tiga negara itu berminat untuk menyertai kejohanan tersebut.

"Berdasarkan jadual perlawanan FIFA, kami akan beraksi sebanyak dua kali, jadi ia tetap akan diteruskan. Kami hanya cuba mendapatkan tiga pasukan agar dapat memaksimumkan jumlah perlawanan dalam kalendar FIFA.

"Jika tiada pasukan daripada tiga negara itu yang menyatakan persetujuan, kami tetap akan meneruskannya," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sehingga kini, masih belum ada ketetapan tarikh tetapi saingan Piala Empat Negara tetap akan dijalankan dari 18 sehingga 26 Mac depan.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, dan pengendali pasukan B-23, Datuk Ong Kim Swee, dijangka duduk semeja untuk membuat pemilihan pemain.

"Pasukan kebangsaan akan beraksi pada 23 Mac. Perbincangan di antara Kim Swee dan Cheng Hoe akan dijalankan untuk mendapatkan keutamaan terhadap kelayakan Olimpik.

"Kami memberikan peluang untuk kedua-dua jurulatih ini berbincang demi mendapatkan pemain terbaik," tambah Stuart.