ARSENE Wenger menyalahkan barisan pemainnya yang mengulangi kesilapan sama selepas Arsenal diaibkan kelab liga kejuaraan, Nottingham Forest 2-4 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA.

Paling memalukan Arsenal tewas kepada kelab tanpa pengurus selepas Forest memecat Mark Warburton minggu lalu.

Ini kali pertama The Gunners yang dibimbing Wenger sejak 21 tahun lalu tersungkur seawal pusingan ketiga dalam perebutan piala berkenaan.

“Amat mengecewakan kerana kita mengulangi kesilapan sama. Sekali, dua kali, tiga kali, dan pada tahap itu ia langsung tidak boleh diterima.

“Kita tidak cukup bagus di mana-mana bahagian pun, di depan, tengah dan belakang dan kita terima padahnya” jelas Wenger kepada media sejurus tamat perlawanan.

Namun dalam kalangan peminat ramai yang melihat kekalahan Arsenal itu berpunca sikap Wenger yang terlalu memandang rendah kemampuan lawan.

Wenger merombak barisan pemainnya yang berjaya mengikat Chelsea 2-2 Rabu lalu dengan melakukan sembilan pertukaran pemain.

Malah Wenger juga dikritik gagal kerana gagal memanfaat ketempangan Forest yang beraksi sepuluh pemain selepas Joe Worrall dilayang kad kuning kedua pada minit ke-84.

Dalam aksi di City Ground itu Eric Lichaj muncul pemain terbaik apabila menyumbat dua jaringan pada minit ke-20 dan 44.

Dua lagi gol Forest dihasilkan menerusi penaliti yang disempurnakan Ben Brereton pada minit ke-64 dan Kieran Dowell minit ke-85.

Sementara dua jaringan Per Mertesacker, minit ke 23 dan Danny Welbeck pada minit ke-79.