Pengendali The Red Warrior (TRW) Azraai Khor laung amaran awal mahu Piala FA kekal di bumi Malaysia apabila turun menentang LionsXII bagi aksi Final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

"Saya harap semua penyokong bola sepak tempatan memberi sokongan mereka kepada Kelantan malam esok,"katanya.

Azraai Khor sememangnya seorang jurulatih yang berprofil tinggi kerana telah menjulang 8 piala ketika mengendalikan Kedah dan Negeri Sembilan.

"Piala ini akan jadi yang ke-9 buat saya sekiranya menjadi juara," ujarnya dengan penuh yakin.

Walaubagaimanapun, Azraai akui pasukan kendaliannya terpaksa menempuh jalan berliku diperingkat awal namun bersyukur kerana diberikan peluang untuk berentap di final.

Pengendali berusia 63 tahun itu menegaskan LionsXII bukanlah pasukan biasa.

"Mereka merupakan pemain masa depan buat Singapura jadi mereka bukan pasukan underdog,"katanya.

Walaupun kali terakhir pertemuan mereka di Liga Super menyaksikan Kelantan menang dengan jaringan 2-0 di Kota Bharu namun Azraai menyifatkan ianya tidak memberikans sebarang kelebihan.

"Ini perlawanan final, jadi senario perlawanan cukup berbeza walaubagaimanapun kami akan memastikan kemenangan akan diketahui selepas 90 minit perlawanan," tambahnya lagi.

Selaku kapten pasukan Badri Radzi turut menyatakan hasratnya untuk melihat TRW menjadi juara.

"Ini berkenaan dengan maruah negara, jadi kami akan berikan yang terbaik bagi memastikan Piala FA kekal di bumi Malaysia," katanya.