Berita  | Sukan

Piala FA: Presiden KFA mahu laporan kekalahan segera

Piala FA: Presiden KFA mahu laporan kekalahan segera
Para pemain Pahang meraikan kejayaan bersama jurulatih mereka selepas mengalahkan Kedah pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi. Pahang menewaskan Kedah dengan 1-0 dan layak untuk memasuki suku akhir. - BERNAMA
SIK: Kekalahan berterusan pasukan bola sepak Kedah perlu dilakukan post-mortem segera.

Itu nada tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mahukan laporan lengkap kekalahan berturut-turut pasukan Kedah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Terbaharu kekalahan 1-0 kepada pasukan Pahang dalam saingan Piala FA malam tadi seterusnya membawa kepada penyingkiran Skuad Helang Merah daripada Piala FA.

Ahmad Bashah meminta pengurusan KFA melakukan siasatan dan rombakan sekiranya perlu.
"Perlu ada perubahan, kita kena tengok di mana kesilapan, di mana kelemahan, kita perlu buat post-mortem.

"Tidak boleh lah apabila kita menang, kita puji, apabila kalah, kita kutuk jurulatih. Kita perlu bagi dia peluang untuk membuat pembetulan, kemudian kita lihat perlawanan-perlawanan yang akan datang (jika ada perubahan)," katanya selepas merasmikan Karnival Mesra Rakyat 2018 di sini, petang tadi.

Dalam masa yang sama, beliau ingin keseluruhan jentera pasukan daripada pengurusan, jurulatih dan juga pemain lebih komited dan bermotivasi tinggi kerana perjalanan liga masih panjang.

Seterusnya, Ahmad Bashah menyimpan impian tinggi untuk pasukan Kedah membawa pulang satu piala untuk peminat tahun ini.

Dalam saingan malam tadi, pasukan Pahang berjaya menebus kekecewaan final Piala FA musim lalu apabila menyingkirkan Kedah yang juga juara bertahan, selepas menang tipis 1-0 pada aksi pusingan ketiga di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pada Mei tahun lalu, skuad Tok Gajah dikecewakan oleh skuad Helang Merah selepas tumbang 2-3 kepada Kedah pada aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor.