Pemain import pasukan MIFA, Kpah Sean Sherman dikenakan penggantungan tiga perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik selepas mengasari pemain import Kedah, Liridon Krasniqi.

Menurut kenyataan media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain dari Liberia itu telah melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya didapati berkelakuan ganas dengan menerjah keras mengenai bahagian lutut pemain pasukan Kedah.

Ekoran daripada kejadian yang berlaku pada perlawanan Piala Malaysia 2018 melibatkan pasukan MIFA melawan Kedah pada 26 Ogos di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, Sherman diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Penggantungan tiga perlawanan yang dikenakan adalah perlawanan Piala Malaysia 2018 di antara Kelantan melawan MIFA pada 31 Ogos (penggantungan perlawanan secara automatik), MIFA melawan Johor Darul Ta'zim (JDT) (esok) dan suku akhir Piala Malaysia 2018 jika layak dan jika tidak layak penggantungan akan dibawa ke Perlawanan Rasmi yang pertama yang berikutnya.

Jawatankuasa Tatatertib FAM juga turut mendenda Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebanyak RM15,000.00 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Hukuman tesebut adalah akibat melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM ekoran daripada tindakan penyokong Pasukan Negeri Johor yang membakar dua puluh lima batang suar semasa perlawanan JDT melawan Kelantan pada 25 Ogos di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin. -- Bernama