Kerajaan negeri Perak mengumumkan insentif RM10,000 dan satu lot tapak rumah untuk setiap pegawai dan pemain bola sepak Perak yang menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan insentif itu berkata, ia adalah penghargaan di atas kejayaan mereka membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.

Menurut beliau, insentif itu adalah tambahan daripada insentif yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sendiri di samping pingat yang dianugerah sempena ulangtahun keputeraan ke-62 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah, pada Sabtu.

“Selain daripada insentif yang diberikan oleh PAFA sendiri, kerajaan negeri akan memberi tambahan RM10,000 dan satu lot tapak rumah untuk pemain dan pegawai,” katanya kepada pemberita selepas program Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin di Dataran Pavilion di sini, hari ini.

Pelepasan para peserta disempurnakan Sultan Nazrin yang menyaksikan kira-kira 7,000 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam kategori 15, 10 dan tujuh kilometer.

Sempena program itu, Sultan Nazrin turut meraikan kejayaan pasukan bola sepak, hoki yang menjuarai Piala Razak dan SUKMA 2018.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti jumlah insentif yang diberikan oleh PAFA kerana Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim baru meletakkan jawatan.

Di samping itu, kata beliau, kerajaan negeri juga akan menimbangkan insentif untuk pegawai dan pemain pasukan hoki Piala Razak.