Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), bercadang untuk mewujudkan kembali skuad lebuh raya kebangsaan, dengan persediaan ke Sukan SEA 2019 di Filipina menjadi fokus utama.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata, pihaknya telah mengenal pasti lapan pelumba buat masa ini dan jumlah itu mungkin ditambah pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihaknya perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menubuhkan skuad berkenaan.

"Kita mencadangkan kepada KBS untuk menubuhkan kembali skuad lebuh raya seperti yang kita ada pada 2013 dan 2014 di bawah kendalian PKBM dan MSN. Selepas 2014, program dah dihentikan. Mengikut senarai yang ada sekarang, kita ada lapan orang, termasuk empat pelumba daripada skuad ujian masa berpasukan lelaki Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Namun, Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) menasihatkan kita fokus kepada pelumba-pelumba muda yang berusia 25 tahun ke bawah demi kepentingan negara. Perkara ini belum diputuskan, tetapi itulah fokusnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja di MSN di sini, hari ini.

Beliau turut berkata bahawa PKBM juga tidak akan mengetepikan pelumba-pelumba dari pasukan benua seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC) dan pasukan baharu ditubuhkan, Forca Amskins Factory selepas skuad kebangsaan diwujudkan kembali.

"Kita akan adakan pemilihan supaya semua orang boleh mengambil bahagian dan kita dapat membariskan pelumba yang terbaik untuk membawa cabaran negara ke kejohanan peringkat antarabangsa. Jurulatih juga belum ditetapkan, kita akan berunding balik dengan MSN mengenai perincian program," katanya.

Lapan pelumba yang dicadangkan oleh PKBM ialah Muhammad Fauzan Ahmad Lufti, Nik Mohd Azwan Mohd Zulkiflie, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Muhammad Elmi Jumari, Hamdan Hamidun, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan Azli Najmi Zulkefli.

Dalam pada itu, Abu Samah mengesahkan bahawa sesi pendengaran bagi seorang pelumba yang didapati positif anabolic steroid (kategori S1) ketika Perlumbaan Tour de Selangor (TdS) 2017 pada Oktober lepas, akan di adakan pada Isnin ini di Wisma OCM di sini, bagi memutuskan hukuman.

Mengenai kemalangan atlet pelapis negeri Perlis, Ku Hasbullah Ku Abdul Rahman, 18, yang maut selepas terbabas di Wang Kelian, semalam, Abu Samah berkata PKBM masih menunggu laporan rasmi daripada Setiausaha Persatuan Berbasikal Negeri Perlis mengenai kemalangan itu.

"Saya hanya boleh komen selepas mendapat laporan penuh mengenai kemalangan itu," katanya.

-- BERNAMA