Mesyuarat Khas pada Selasa bersetuju membenarkan premis sukan beroperasi sehingga jam 2 pagi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata keputusan tersebut dibuat selepas menerima aduan daripada pengusaha premis berkenaan.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan daripada 12 tengah malam kepada pukul 2 pagi.

“Operator perniagaan berkaitan sukan, misalnya futsal ketika ini, perlu menghentikan operasi pada jam 12 tengah malam. Namun, mereka membuat aduan kerana kebanyakan pengunjung akan datang ke premis berkenaan selepas waktu Maghrib atau Isyak.

“Atas dasar itu, maka mesyuarat bersetuju untuk membenarkan mereka beroperasi hingga jam 2 pagi," katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Selasa.

Katanya lagi, semua pihak yang terlibat sama ada pemain, pengurus premis atau mereka yang hadir masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 136 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 36 individu telah direman manakala seramai 100 individu pula dikenakan kompaun,” katanya.

Beliau berkata aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal mencatatkan jumlah ditahan paling tinggi dengan 43, diikuti individu yang tidak memakai pelitup muka (26) dan tangkapan pendatang izin tanpa izin (22).

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan serta lima kenderaan darat dirampas.