Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil yang telah mencatatkan pencapaian terbaik Malaysia setakat ini.

Dalam catatan terbaharunya di laman NajibRazak.com pada Selasa, Datuk Seri Najib berkata kejayaan membawa pulang empat pingat perak dan satu pingat gangsa itu merupakan sebahagian daripada kisah kecekalan yang perlu rakyat teladani.

"Olimpik Rio mencatatkan pencapaian terbaik Malaysia setakat ini. Lima pingat yang dibawa pulang Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang daripada edisi Olimpik kali ini hasil keazaman dan kedahagaan untuk mengecapi kejayaan sepanjang karier mereka.

"Perjalanan mereka bukan mudah. Azizulhasni dan Goh Liu Ying bangkit daripada kecederaan fizikal yang serius tidak lama dahulu.

Gabungan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem memeranjatkan kita semua, bangkit melawan nama-nama besar sukan badminton di peringkat dunia," kata beliau lagi.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia hanya memiliki kontinjen yang kecil namun semangat juang mereka tiada tolok bandingnya demi menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

Datuk Seri Najib berkata atlet Malaysia tidak harus mempunyai perasaan sedih atau kecewa dengan apa jua pencapaian di Rio kerana mereka bukan sahaja telah mengharumkan nama negara malah berjaya menyatupadukan lebih 30 juta rakyat Malaysia.

"Pulanglah ke tanah air dengan perasaan yang bangga. Anda semua wira di hati kami!" kata beliau lagi.

Dalam itu, Datuk Seri Najib berkata sudah tiba masanya atlet-atlet muda Malaysia menggandakan usaha dan memberi fokus bagi mengembangkan potensi sedia ada.

"Barisan atlet pelapis ini perlu bersedia dengan latihan dan displin diri yang cemerlang.

"Jadikan kisah atlet kita di Olimpik Rio sebagai pengajaran dan galakan untuk membakar semangat anda bagi melakukan yang lebih baik lagi," kata beliau.