Tutup

Berita  | Sukan

Pogba tidak akan tinggalkan United - Solskjaer

Pogba tidak akan tinggalkan United - Solskjaer
Pogba (gambar) sedang berusaha keras dan dia masih lagi komited terhadap Manchester United, kata Solskjaer. - Gambar fail
OLE Solskjaer menegaskan Paul Pogba tidak akan meninggalkan Manchester United walaupun Real Madrid kembali berminat mendapatkan khidmatnya.

Pogba telah dilaporkan sebagai sasaran utama Real namun gagal menandatangani pemenang Piala Dunia itu.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu bagaimanapun menghadapi permulaan yang terumbang-ambing sejak permulaan musim ini, sementara presiden kelab, Florentino Perez, memberikan bayangan mungkin akan mendapatkan Pogba Januari ini.

Pemain tengah itu, menghadapi hubungan yang sukar dengan bekas pengendali United, Jose Mourinho, kini diketepikan ekoran kecederaan.
Tetapi Solskjaer mengulangi mengenai komitmen Pogba kepada Old Trafford, walaupun pemain berusia 26 tahun itu berkata mahukan cabaran baru pada penghujung musim 2018-19.

Ejennya, Mino Raiola, dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan perpindahan untuk Pogba, tetapi Solskjaer yakin United akan memastikan pemain itu tidak akan meninggalkan England.
"Saya tidak mendengar kepada presiden Real Madrid," kata Solskjaer.

"Tetapi Pogba sedang berusaha keras di sini dan dia masih lagi komited terhadap Manchester United. Walaupun mengalami kecederaan, dia sedang berusaha untuk pulih dan kembali beraksi bersama rakan sepasukan.

"Saya tidak bimbang kerana yakin dia akan terus bersama kami walaupun Real kembali berminat mendapatkan Pogba.

"Pogba tidak akan ke mana-mana, dia gembira beraksi di sini."

Mentaliti Pogba kerap kali dipersoal sejak kembali ke Old Trafford dari Juventus pada 2016, tetapi Solskjaer berpandangan pemain tengah itu sesuai dengan pasukannya.

"Anda memerlukan perwatakan yang besar untuk bermain dengan United dan Pogba memilikinya. Dia sentiasa hadir dalam setiap perlawanan dengan penuh keyakinan dan ia melonjak semangat pasukan."





Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro