Berita  | Sukan

Polis dedah video saat McGregor ditahan, digari depan rumah

Polis dedah video saat McGregor ditahan, digari depan rumah
Conor McGregor ditahan selepas didakwa memecahkan telefon bimbit seorang peminat yang cuba mengambil gambarnya. - Foto AP
POLIS mendedahkan sebuah video memaparkan detik sewaktu bintang UFC Conor McGregor ditahan selepas didakwa memecahkan telefon bimbit seorang peminat yang cuba mengambil gambarnya.

Memetik laporan TMZ Sports, klip video tersebut menunjukkan McGregor tenang ketika diiringi ke kereta polis dari kediaman peribadinya di Miami, Florida, sebelum digari dan ditempatkan di tempat duduk belakang.

Jaguh MMA dari Ireland itu didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata serta kesalahan berunsurkan jenayah.

Menurut Polis Miami, kejadian itu berlaku di hadapan Hotel Fontainebleau Miami Beach, Florida pada jam 5 pagi waktu tempatan.

BACA: Pecahkan telefon peminat, Conor McGregor ditahan

Berdasarkan laporan polis, McGregor dikatakan telah menepis telefon daripada mangsa sebelum memijak telefon tersebut dan mengambilnya.

Tahun lalu, McGregor, 30 tahun telah diarah untuk menjalani program pengurusan kemarahan dan lima hari khidmat masyarakat bagi menarik balik pertuduhan menyerang bas yang dinaiki beberapa petinju UFC pada April.

McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan juara lightweight dunia, Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.

Kali terakhir dia bertarung ialah dengan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Bagaimanapun, susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan tersebut, Khabib dan McGregor telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor pula didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.