BEKAS jurulatih bina badan negara, Abdul Halim Budin, meminta Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) campur tangan dalam isu perbezaan hukuman penggantungan membabitkan Sazali Samad dan atlet angkat berat negara yang positif doping.

Halim berpendapat Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF) mempunyai alasan kukuh di sebalik penggantungan empat tahun terhadap Sazali.

Sazali positif steroid sementara atlet angkat berat, Constantine Clement dan Nasir Roslan, hanya digantung dua tahun walaupun dikesan menggunakan bahan sama.

"Saya melihat perkara ini perlu di seragamkan. Kalau boleh pihak yang terlibat duduk berbincang untuk mengadakan garis panduan yang sama untuk menjatuhkan hukuman terhadap atlet masing-masing," katanya.

Tambah Halim, seharusnya MBBF memberikan pertimbangan sewajarnya kerana Sazali pernah menyumbang keringat untuk mengharumkan nama Malaysia sejak 1996.

Penggantungan empat tahun dilihat akan memusnahkan kerjaya atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu.