Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegur barisan pemain dan jurulatih agar segera mencari punca kepada kemerosotan prestasi skuad negara, akhir-akhir ini.

Beliau berkata terdapat jurang besar antara harapan rakyat, sejarah kegemilangan sebelum ini dan pencapaian skuad negara yang tidak sampai ke tahap diingini.

"Kita perlu lakukan jurang analisis kerana harapan penyokong dan masyarakat sangat tinggi kepada skuad badminton tetapi realitinya kita berada di bawah sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kad Debit-i Bank Islam BAM di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata badan induk itu sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan kelengkapan terkini, termasuk jurulatih berkelas dunia, kemudahan gimnasium serta Akademi Badminton, dan terbaharu Kafe Majlis Sukan Negara (MSN).

"Mahu tidak mahu, pemain perlu sedar dengan adanya semua kemudahan ini, mereka tidak boleh berasa selesa. Mereka harus sedar tanggungjawab kepada negara," katanya.

Mohamad Norza turut menggesa setiap jurulatih BAM untuk merencana strategi dan menggunakan pendekatan baharu sebelum menyertai sesuatu kejohanan kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan seseorang pemain.

"Jurulatih perlu mencari punca kemerosotan pemain dan membimbing mereka dengan sebaiknya serta merancang strategi untuk pemain bagi menghadapi sesuatu kejohanan.

"Contohnya, lakukan analisis SWOT. Kenal pasti setiap kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang setiap pemain serta menganalisa laluan undian pemain pada setiap kejohanan disertai," katanya.

Untuk rekod, hanya dua wakil negara layak ke suku akhir kejohanan Seluruh England, pada awal bulan ini.

Ia sekali gus memberi tamparan hebat kepada badan induk badminton negara itu yang masih bergantung kepada pemain senior, sedangkan negara lain seperti China dan Jepun mempunyai wakil sehingga 10 pemain di peringkat saingan lapan terbaik itu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Bank Islam memperluaskan inisiatif penajaan mereka dengan memperkenalkan kad jenama bersama Visa dikenali sebagai Kad Debit-i Bank Islam BAM.

Bank yang mempunyai 149 cawangan seluruh Malaysia itu turut memberi tajaan bernilai RM300,000 kepada BAM bagi tempoh empat tahun untuk membantu persatuan meningkatkan mutu badminton daripada peringkat akar umbi.

-- BERNAMA