Berita  | Sukan

Projek pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Rembau akan diteruskan

Projek pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Rembau akan diteruskan
Mohamad Taufek berkata pembinaan kompleks itu adalah idea anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Belia dan Sukan. - Bernama
SEREMBAN: Projek pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Rembau berharga RM27 juta di Chembong, yang dirancang semasa kerajaan terdahulu akan diteruskan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani.

Beliau berkata projek itu telah dijalankan hampir 30 peratus dengan kerja-kerja tanah.

Katanya kompleks di kawasan seluas 8.094 hektar itu akan dilengkapi padang sintetik, balapan, dewan yang boleh memuatkan enam gelanggang badminton, dua gelanggang futsal, dua gelanggang sepak takraw, sebuah gelanggang bola keranjang dan sebuah gelanggang bola jaring.
"Turut dibina Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rembau," katanya.

Mohamad Taufek berkata pembinaan kompleks itu adalah idea Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri sedang mencari calon untuk mengisi kekosongan jawatan pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN).

Katanya, ini berikutan kontrak pengarah MSN sebelum ini Fouzee Abd. Aziz berakhir pada 31 Oktober lepas.

-- BERNAMA